Ta`arifnya : ialah darah yang keluar daripada faraj ( kemaluan) perempuan yang bukan pada hari haid dan nifas.
Kedudukan Darah Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar dari urat yang hampir dengan rahim perempuan yang dinamakan al-azal iaitu urat atau sejenis kulit yang berada didalam faraj (hampir dengan rahim) perempuan dan disitulah tempat masuknya air mani lelaki yang bakal menjadi anak dan dari situ juga kelurnya darah nifas.Darah istihadhah ini menyebabkan terbatholnya wudu`(air sembahyang) tetapi tidak mewajibkan mandi janabah (mandi hadas besar)dan ia menyebabkan hadas yang berkekalan. Sungguhpun demikian tidaklah menghalang seseorang perempuan itu dari mengerjakan ibadat seperti solat, puasa dan lain-lainnya. Malahan wajib bagi perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu tadi mengerjakan segala a`malan yang difardukan itu seperti biasa, Cuma sebelum berwudu` maka hendaklah ia membasuh farajnya (kemaluannya) dan menyekatnya dengan sesuatu agar tidak meleleh.
Dalam masaalah ini , apabila seseorang perempuan itu keluar darah istihadhah, maka hendaklah ia menyumbat farajnya dengan kapas atau seumpamanya (lampin khas) dan seeloknya direnjis sedikit pewangi pada penyumbatnya itu.
Selepas itu barulah perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu berwudu` atau bertayamum, tetapi perlu diingat tidak harus bagi mereka berbuat demikin kecuali setelah masuk waktu solat, kerana perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu adalah seperti orang yang berkekalan hadas.
Jika seseorang perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu berlengah-lengah atau menangguhkan sembahyangnya tanpa sesuatu tujuan yang berkaitan dengan sembahyangnya, maka tidaklah sah bahkan bathol wudu`nya itu dan wajib mengulanginya kembali.
Justeru itu, wajib bagi perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu memperbaharui wudu`nya pada tiap-tiap solat fardu, sekalipun solat fardu itu dengan sebab nazar dan wajib juga ia tukarkan penyumbat atau lampin farajnya itu pada setiap kali sembahyang fardu walaupun tidak keluar darahnya dari lubang faraj dan tidak meleleh ditepi farajnya itu. Ini kerana perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu adalah seperti hukum orang yang da`imul hadas (orang yg sentiasa berhadas).